Thursday, September 8, 2011

PENGERUSI PKM AKUI KOMUNIS GAGAL DAN MENIPU!!!



Memandangkan PAS sekarang menggunakan strategi merujuk ahli keluarga Mat Indera dan bahan-bahan sejarah, Tukang Screw sahut strategi tersebut dengan satu lagi pendedahan! Musa Ahmad, bekas Pengerusi Parti Komunis Malaya yang berpengkalan di Beijing, China semasa pemberontakan bersenjata PKM sebelum Perjanjian Hadyai 1989 membuat pendedahan berikut:

"Dari awal-awal lagi PKM sukar mendapat sambutan di kalangan rakyat, khususnya orang-orang Melayu kerana orang-orang Melayu menolak sama sekali ideologi yang menafikan ketuhanan. Usaha PKM mendapatkan sedikit sebanyak sokongan adalah berasaskan kepada penipuan. Sebelum merdeka PKM bertopengkan nasionalis dan anti kolonialis kononnya berjuang untuk mencapai kemerdekaan daripada Inggeris.

Apabila Malaya mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957, topeng yang dipakai oleh PKM itu telah didedahkan sama sekali. Oleh kerana enggan menerima hakikat ini maka PKM berselindung di sebalik teori-teorinya yang palsu itu. Kemerdekaan Malaya kononnya tidak tulin kerana masih banyak terdapat unsur-unsur kolonial dan feudal. PKM menggambarkan Malaya sebagai sebuah negeri "neokolonialisma", iaitu suatu istilah yang telah dilaungkan oleh D.N Aidit Ketua Parti Komunis Indonesia. Ini dijadikan oleh PKM bagi meneruskan perjuangan bersenjata.

Dari masa ke semasa Chin Peng yang berada di China mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang panjang lebar menonjolkan yang kononnya keadaan tempat dan antarabangsa telah mengujudkan suasana revolusioner. Tapi apa yang dinyatakan oleh Chin Peng itu adalah khayalannya sendiri.

Sejak kebelakangan ini PKM cuba pula menipu orang-orang Melayu dengan mengujudkan identiti nasionalisma.

PKM MENDAKWA PERJUANGAN MEREKA ADALAH LANJUTAN KEPADA PERJUANGAN YANG DIPIMPIN OLEH TOK BAHAMAN, TOK GAJAH DAN BEBERAPA ORANG PAHLAWAN MELAYU SEMASA MENENTANG INGGERIS DIABAD YANG LALU. INI ADALAH KARUT DAN JANGANLAH TERPEDAYA DAN TERPERANGKAP DENGAN KEDUSTAAN INI."

Tukang Screw bukan sengaja atau sesuka hati mereka-reka kenyataan ini yang dikeluarkan sendiri oleh Musa Ahmad pada 6 Januari 1981 selepas beliau menyerah diri kepada Kerajaan Malaysia kerana berasa tertipu dengan perjuangan komunis yang banyak menyusahkan orang Melayu dan merosakkan masa depan anak-anak Melayu yang menyertai Rejimen Ke-10 PKM. Mungkin Suhaizan Kaiat atau Dr. Dzulkifly Ahmad boleh mengeluarkan hujah dan bukti ilmiah lain untuk menyangkal kenyataan Musa Ahmad. Atau lebih baik bawa balik Chin Peng dan buatlah road show ke seluruh negara. Sudah terang lagi bersuluh perjuangan PAS menegakkan Islam di Malaysia sedikit demi sedikit cuba dirosakkan oleh segelintir pemimpin yang kurang latar belakang agama dan gila untuk berkuasa. Mohd Sabu tersilap langkah membangkitkan isu ini dan tanggunglah akibatnya. Sedar tidak sedar Mohd Sabu dan beberapa pemimpin PAS yang bodoh sombong dan perasan pandai seperti ahli sejarah terkenal mereka iaitu SUHAIZAN KAIAT telah menyokong perjuangan komunis menjatuhkan kerajaan secara bersenjata dan tersiratnya itulah yang cuba dilaksanakan oleh PAS dan Pakatan Rakyat iaitu menjatuhkan kerajaan seperti di Mesir, Libya dan Tunisia. Waspadalah dengan duri dalam daging ini.

Akhir kata, Tukang Screw akan berehat sehingga Selasa ini untuk menyiasat dan mendedahkan beberapa lagi bahan bukti sebelum berkampung di Bukit Kepong pada minggu hadapan menunggu ahli sejarah PAS, SUHAIZAN KAIAT berdebat dengan ahli sejarah dan penduduk Kg.Bukit Kepong. Itupun kalau SUHAIZAN KAIAT anak jantan!

EDISI DEDAH: KISAH MAT INDERA DALAM BUKU PENGUKIR NAMA JOHOR DICIPLAK?

Tukang Screw telahpun membaca kisah Mat Indera yang ditulis oleh Ismail Adan dalam buku Pengukir Nama Johor. Kalau dibaca sekali imbas Tukang Screw boleh rasakan bahawa rujukan untuk kisah ini hanya daripada bukti temubual dengan penduduk kampung atau waris-waris terdekat Mat Indera. Sumber rujukan yang digunakan Ismail Adan juga agak terhad. Apa yang menarik perhatian Tukang Screw, salah satu sumber rujukan Ismail Adan ialah Maklumat Lisan Johor iaitu iaitu satu projek yang dikendalikan pelajar-pelajar kewartawanan Kajian Sebaran Am Institu Teknologi Mara dan diterbitkan oleh Biroteks, Institut Teknologi Mara Shah Alam pada tahun 1987.

Setelah Tukang Screw membaca Maklumat Lisan Johor pada muka surat 213 yang menceritakan tentang Mat Indera hasil maklumat lisan daripada orang perseorangan di sekitar Johor yang diperoleh pelajar ITM Shah Alam yang membuat kajian mendapati bahawa isi kandungan kisah Mat Indera tulisan Ismail Adan dicedok hampir 90% daripada kisah Mat Indera dalam Maklumat Lisan Johor! Tidak salah jika Ismail Adan merujuk beberapa kenyataan di dalam Maklumat Lisan Johor, tetapi malangnya hampir 90% dicedok. Di mana kredibiliti penulis seperti Ismail Adan? Insya Allah Tukang Screw akan dedahkan isi kandungan sebenar Maklumat Lisan Johor untuk kita sama-sama nilai bahan rujukan yang diambil oleh PAS terutama oleh AHLI SEJARAH mereka, SUHAIZAN KAIAT!!!

Wednesday, September 7, 2011

PAS PERALAT ADIK MAT INDERA




Dengan bangganya PAS mengadakan sidang media sebentar tadi dengan membawa Baharum Syah Indera, adik kepada Mat Indera yang juga merupakan pesara tentera dari Kor Perkhidmatan. Sekarang beliau tinggal di Bandar Tun Razak, Cheras. Sebelum sidang media ini diadakan pun, Baharum Shah menyatakan Mohd Sabu ada menghubunginya beberapa kali pada hari raya ke 4 dan ke 5 di mana sewaktu itu beliau masih beraya di Terengganu. Mohd Sabu dan PAS jangan fikir mereka lebih awal atau lebih pantas mengenal pasti adik beradik Mat Indera untuk dieksploitasi! Baharum Shah juga agak teruja apabila Mohd Sabu memuji-muji arwah abangnya dan menjelaskan bahawa beliau seorang ustaz dan bukan komunis. Mohd Sabu juga mendakwa ada menyimpan kitab-kitab agama karangan Mat Indera. Perkara itu cukup mengejutkan Baharum Shah kerana beliau sendiri tidak ada buku-buku tersebut dan setahunya Mat Indera tidak ada menulis apa-apa buku agama pun. Apapun Baharum Shah meminta supaya Mohd Sabu tidak lagi menjaja nama abangnya yang sudah dikenali rakyat negara ini tentang penglibatannya dalam aktiviti komunis. Begitu juga dengan Suhaizan Kaiat, ahli sejarah PAS yang berjaya menghubungi Johan Shah di Yon Peng untuk diekspolitasi PAS. Tukang Screw tabik spring juga kepada Mohd Sabu dan Suhaizan Kaiat kerana akhirnya berjaya mengeksploitasi ahli keluarga Mat Indera untuk membersihkan tahi yang telah dilemparkannya. Syabas. Eloklah selepas ini Rashid Maidin dan Abdullah CD serta rakan-rakan Rej Ke-10 akan minta PAS iktiraf mereka sebagai pejuang kemerdekaan.


Walaupun mereka bermati-matian menafikan Mat Indera adalah komunis berpandukan buku Pengukir Nama Johor, PAS jangan lupa pula untuk membaca buku tulisan Abdullah CD, antara pemimpin utama Regimen Ke-10 PKM yang berpengkalan di Shukirin, Selatan Thailand. Buku bertajuk "MEMOIR ABDULLAH C.D (BAHAGIAN KEDUA): PENAJA DAN PEMIMPIN REJIMEN KE-10 dengan jelas menyatakan dan mengiktiraf Mat Indera sebagai komunis di muka surat 115: "Salah satu pasukan bersenjata Melayu Johor yang berpengaruh dan luas kawasan gerakannya ialah pasukan di bawah pimpinan Mat Indera dan Kadir Murei'ih. Pasukan ini bergerak di kawasan dari Muar hingga ke Air Hitam, Batu Pahat dan Segamat. Mereka mendapat sambutan yang hangat dari massa rakyat, banyak kampung telah disusun menjadi pangkalan gerila yang kukuh, banyak darah-darah baru mengalir masuk tentera. Dengan itu terbentuklah satu pangkalan gerila yang luas di kawasan Pantai Barat Negeri Johor."


Menyentuh Peristiwa Bukit Kepong pula, Abdullah C.D dalam bukunya turut menyebut: "Pada 23 Februari 1950 satu kompeni pasukan gabungan yang terdiri dari kawan-kawan Tionghua dan 2 platun kawan Melayu di bawah pimpinan Mat Indera melancarkan serangan mendadak ke atas Balai Polis penjajah di Bukit Kepong yang berkekuatan 1 platun."


Dalam bukunya itu juga ada menceritakan bahawa; "Mat Indera menjelaskan pertempuran tersebut kepada massa. Massa rakyat amat terberansang dengan kemenangan pertempuran tersebut. Mereka menyampaikan tahniah dan menghulurkan derma kepada pasukan."


Jadi jelas bahawa jika Abdullah C.D sebagai pemimpin utama komunis Melayu pada waktu itu mengiktiraf perjuangan komunis Mat Indera maka tidak perlu dipertikaikan lagi siapa Mat Indera kerana hanya jauhari mengenal yang mana manikam!!! Tak gunalah PAS berpandukan kepada buku Pengukir Nama Johor kerana PKM sendiri mengiktiraf Mat Indera sebagai komunis Melayu! Seperkara lagi, mustahil Baharum Shah mahu memburuk-burukkan ahli keluarganya di hadapan media walaupun mereka sedar bahawa Mat Indera tersilap memilih jalan perjuangan!

BEKAS PAHLAWAN AKAN "SERANG" IBU PEJABAT PAS

Semalam Tukang Screw sempat menghayati dan membaca sajak bertajuk 'Pahlawan' nukilan Mej (B) Mohamad Hj. Awang yang rasanya hampir setiap tahun dideklamasikan sempena hari Pahlawan. Dan tak semena-mena keluar juga air mata walaupun dah hampir 35 tahun Tukang Screw tidak 'mengeluarkan air mata'. Rasanya elok juga kalau Mohd Sabu dan pemimpin PAS lain yang tidak tahu menghargai jasa-jasa 'wira tidak didendang' ini menghayati sajak ini yang antara bait-baitnya berbunyi:-


Merengkoklah nadi dan sendulah hati


Kerana semalam kisah sayu memamah diri


Dalam kehitaman sejarah bumi ini


Matinya pahlawan kerana bertahan di dada pertiwi


Dengan peluru dan darah


Dengan keringat yang tumpah


Apa yang mengecewakan Tukang Screw ialah sikap segelintir pemimpin PAS yang bermati-matian mempertahankan kenyataan Mohd Sabu yang menganggap kumpulan yang diketuai Mat Indera menyerang, membakar dan membunuh anggota-anggota polis di Balai Bukit Kepong sebagai pejuang kemerdekaan. Mereka juga dengan jelas menunjukkan tahap IQ yang cukup rendah walaupun bergelar DR dengan menyamakan atau membuat analaogi bahawa perjuangan 'kumpulan yang diketuai Mat Indera' itu sama dengan perjuangan Tok Janggut, Mat Kilau dan Dato Bahaman melawan Inggeris. Harus diingat bahawa perjuangan mereka adalah untuk menghalang penjajahan British di Tanah Melayu tetapi kumpulan Mat Indera berjuang menghalau British untuk menegakkan Republik Malaya atau lebih tepat lagi sebuah negara komunis!


Mohd Sabu dan segelintir pemimpin PAS dengan sengaja menggelapkan hati dan minda untuk tidak mengiktiraf askar dan polis yang berkhidmat dengan British di zaman pasca Perang Dunia Kedua walaupun jelas ramai sejarahwan dan ahli akademik termasuk pemimpin British yang mengiktiraf jasa dan pengorbanan mereka. Dato Seri JJ Raj (J) yang merupakan OCPD Pagoh semasa serangan terhadap Balai Polis Bukit Kepong dalam bukunya bertajuk The Struggle For Malaysian Independence dengan bangganya mengiktiraf jasa dan pengorbanan Pahlawan Bukit Kepong .."These warriors were ordinary kampong men, recruited into the Police Force, and given a few months training at the Police Depot. These ordinary Malay policemen were not motivated by any of the above ideas. Indeed their motives were far more intangible than such rhetoric as the "defence of democracy". When their religion was threatened, and their families in great danger, the dormant fighting spirit of their Malay ancestor was awakened, and there was no turning back for these ferocious warriors. they fought and died almost to the last warrior. These Malay policemen have proved without doubt that they were tenacious fighters equal, if not better to the world famous Gurkha soldiers from Nepal in the British Army."


Bayangkan seorang yang bukan Melayu/Islam boleh mengiktiraf jasa dan pengorbanan Pahlawan Bukit Kepong. Yang sedihnya Mohd Sabu dan segelintir pemimpin PAS masih berkeras menyatakan mereka yang terkorban itu adalah alat penjajah British dan mengiktiraf penyerang Balai Polis Bukit Kepong sebagai pejuang kemerdekaan!!!!! Mungkin juga mereka yang dungu ini boleh membaca novel bertajuk " Panglima Salleh Selempang Merah" karya Zaharah Nawawi yang membuat kajian terperinci sejarah perjuangan Pahlawan Parang Panjang menentang komunis di Johor. Walaupun ianya hanya sebuah novel sejarah tetapi masih wajar dipertimbangkan watak Mat Indera yang juga disebut dalam novel ini..."Benteng pertahanan diperkukuhkan.Parang yang sudah disimpan diasah semula. Kampung-kampung diseluruh Mukim Empat terutama Parit Maimon serta yang berhampiran dengan kaki bukit yang boleh dijadikan pintu masuk, dikawal ketat. Berbulan-bulan pengawasan ini dilakukan sehingga gerombolan yang dipimpin oleh Mat Indera yang dikatakan kebal itu terpaksa membatalkan niatnya untuk menyerang kawasan Penghulu Salleh."


Sebenarnya lebih banyak buku yang menolak Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan malah menyifatkan beliau sebagai pengkhianat bangsa. Tukang Screw akan cuba paparkan beberapa buku lagi dalam tempoh terdekat.


APAPUN, KERANA MULUT MOHD SABU YANG CELUPAR ITU, ESOK 8 SEP 2011 LEBIH KURANG JAM 11 PAGI ELOKLAH KITA BERAMAI-RAMAI KE IBU PEJABAT PAS JALAN RAJA LAUT, KUALA LUMPUR MENYOKONG PERHIMPUNAN AMAN DAN PENYERAHAN MEMORANDUM OLEH PERSATUAN BEKAS-BEKAS POLIS DAN PERSATUAN BEKAS-BEKAS PERAJURIT YANG JELAS TERLUKA DENGAN KENYATAAN MOHD SABU DAN PEMIMPIN PAS YANG JAHIL MURAKKAB TENTANG SEJARAH! PERHIMPUNAN DAN PENYERAHAN MEMORANDUM INI BAGI MENDESAK PAS BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KENYATAAN MOHD SABU DAN PERMAINAN POLITIK KOTOR MEMPERTAHANKAN KENYATAAN TERSEBUT!!!! AYUH KITA "SERANG" PEJABAT PAS DENGAN MEMORANDUM.DAN SEPERTI BIASA PAS MENGATAKAN PERHIMPUNAN INI ADALAH PERMAINAN UMNO. HARUS DIINGAT BAHAWA UMNO TERLALU LEMBIK UNTUK BERLAWAN DENGAN PAS, BIAR RAKYAT YANG MENGAJAR PAS.


Wallahualam.


Tuesday, September 6, 2011

SAKSI PERISTIWA BUKIT KEPONG ENGGAN TEMUI MOHD SABU







Semalam, 5 September 2011 Mohd Sabu dan rombongannya berhasrat berjumpa dengan Puan Jamilah Abu Bakar, mangsa serangan komunis yang disertai Mat Indera terhadap Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950. Puan Jamilah Abu Bakar juga ialah anak kepada Allahyarham MM Abu Bakar Daud yang cedera parah semasa serangan tersebut. Beliau sekarang tinggal Taman Skudai Kanan, Tampoi, Johor. Tujuan utama Mohd Sabu dan rombongan ke rumah Puan Jamilah berkemungkinan untuk menjelaskan kenyataannya yang benar-benar mengguris hati mangsa serangan Bukit Kepong dan mungkin juga untuk membela nasib mereka.

Selain Mohd Sabu, turut bersama ialah Abdullah Idris, YDP PAS Kawasan Pulai, Zaaba Ibrahim, Naib YDP PAS Kawasan Pulai, Onn Jaafar, AJK PAS Johor dan Suhaizan Kaiat, Ketua Pemuda PAS Johor. Malangnya kehadiran mereka pada kira-kira jam 2 petang telah disambut dengan batang-batang penyapu oleh penduduk setempat yang jelas tidak dapat menerima kenyataan Mohd Sabu yang mengagungkan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan dan anggota polis Balai Bukit Kepong yang terkorban sebagai alat British. Keluarga Puan Jamilah juga enggan menerima kehadiran rombongan tersebut yang jelas tidak pernah menghargai perjuangan datuk mereka yang mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong daripada serangan komunis.

Tukang Screw sudahpun menjangkakan sambutan yang bakal diterima Mohd Sabu dan rombongan. Tetapi yang menarik, ahli keluarga Puan Jamilah jelas amat kecewa dengan taktik penipuan PAS yang merancang perjumpaan tersebut. Sebelum perjumpaan pada 5 hb diadakan, Zaaba Ibrahim, Naib YDP PAS Kawasan Pulai telah menghubungi salah seorang dari ahli keluarga tersebut dengan memperkenalkan dirinya sebagai PEGAWAI KERAJAAN dengan alasan untuk membantu waris tragedi serangan Bukit Kepong yang turut berjanji akan membawa Suhaizan Kaiat yang menyamar sebagai AHLI SEJARAH untuk membetulkan fakta sejarah tentang tragedi serangan tersebut. Pada awalnya kehadiran Zaaba Ibrahim dan isteri tidak disenangi keluarga tersebut tetapi memandangkan taktik penyamaran sebagai PEGAWAI KERAJAAN yang digunakan selain tujuan lawatan untuk membantu waris mangsa serangan tersebut, akhirnya keluarga tersebut menerimanya.

Bagaimanapun seperti yang dijanjikan, pada 5 hb rombongan PEGAWAI KERAJAAN dan AHLI SEJARAH tersebut datang bersama Mohd Sabu yang cukup dikenali penduduk setempat sekaligus disambut dengan batang-batang penyapu!!! Tindakan tersebut dibuat kerana rasa marah dengan kenyataan Mohd Sabu, penipuan yang dibuat Zaaba yang mengaku sebagai PEGAWAI KERAJAAN dan kebarangkalian PAS akan mengeksploitasi perjumpaan tersebut demi kepentingan politik mereka. Setelah gagal mengadakan perjumpaan tersebut, rombongan PEGAWAI KERAJAAN dan AHLI SEJARAH tersebut cuba berjumpa salah seorang ahli keluarga tersebut di Surau Assyakirin. Bagaimanapun mereka dinasihatkan beredar untuk mengelakkan perkara-perkara tidak diingini daripada berlaku. Khabarnya juga keluarga Puan Jamilah akan membuat laporan polis berhubung tindakan Zaaba Ibrahim menyamar sebagai PEGAWAI KERAJAAN.

Kerana malu dengan sambutan tersebut, rombongan PEGAWAI KERAJAAN dan AHLI SEJARAH tersebut telah beredar dari tempat tersebut dan berfikir bagaimana nak menyembunyikan kemaluan mereka. Sebelum itu, Mohd Sabu sempat mengadakan sidang akhbar di Kelab Akhbar Cina, Taman Maju, Johor Bahru berhubung serangan komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong. Yang menariknya bagi memujuk dan divert isu tersebut, Mohd Sabu dalam kenyataannya menawarkan khidmat guaman percuma kepada waris atau keluarga anggota polis yang terlibat dengan tragedi Bukit Kepong bagi menuntut pampasan daripada kerajaan British. Mohd Sabu juga tetap berkeras menyatakan Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan seperti yang ditulis dalam buku bertajuk "Pengukir Nama Johor" tulisan Ismail Adan yang dia sendiri masih belum membacanya apatah lagi semasa menyebut Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan pada 21 Ogos lalu.

Apa yang Tukang Screw ingin ulas di sini ialah bagaimana terdesaknya PAS menipu untuk memujuk insan-insan yang telah diguris perasaannya kerana sokongan PAS terhadap perjuangan komunis Mat Indera menyerang Balai Polis Bukit Kepong yang dianggap sebagai aparatus penjajah British!!! Kerana pulut santan binasa, kerana mulut Mohd Sabu PAS binasa. Jadi selama ini jelaslah politik penipuan PAS yang mengaku memperjuangkan Islam terhadap beberapa isu yang kononnya diperjuangkan bagi membela nasib rakyat. Tak perlulah menyebut UMNO lagi besar penipuannya kerana ianya telah menjadi satu konsep yang difahami oleh rakyat negara ini dan seperkara lagi UMNO bukanlah parti yang mendakwa parti mereka sebagai parti Islam.

Akhir kalam, eloklah kiranya pemimpin PAS berdebat secara ilmiah dengan ahli-ahli sejarah bagi menegakkan kenyataan mereka bahawa Mat Indera dan komunis adalah pejuang kemerdekaan sebenarnya. Tak perlulah berdebat dengan UMNO kerana UMNO juga buta sejarah. Ramai waris-waris mangsa dan polis/tentera yang terlibat dengan kekejaman komunis mahu mendengar hujah PAS seterusnya membetulkan fakta sejarah yang kononnya ditulis UMNO. Ini cabaran Tukang Screw kepada PAS atau penyokong mereka, kalau anak jantan berdebatlah dengan ahli sejarah ataupun mangsa kekejaman komunis! Carilah pentas yang sama tinggi sama rendah untuk menari. Beranikah Tuan Ibrahim Tuan Man menyahut cabaran?

Monday, September 5, 2011

SIAPA MAT INDERA?













Sebelum kita sibuk mempertikaikan adakah Mat Indera pejuang kemerdekaan atau tidak, rasa eloklah kita kenal siapa Mat Indera sebenarnya. Kita jangan jadi seperti Mat Sabu yang berkokok keliling kampung tentang Mat Indera tetapi tidak mengenali siapa Mat Indera.

Nama sebenar Mat Indera ialah Muhammad bin Indera tetapi lebih dikenali sebagai Mat Indera atau Bong Mahmudiah yang dilahirkan pada 29 Disember 1920 di Batu Pahat, Johor. Bapanya Indera bin Mat Salleh berasal dari Siak, Sumatera dan merupakan anak kedua daripada 7 adik beradik. Ibunya Maimunah bt Daud berasal dari Batu Pahat. Selain itu, Mat Indera juga mempunyai 4 adik beradik tiri hasil perkahwinan kedua bapanya bersama Zainah bt Dasuki yang berasal dari Bukit Pasir, Muar. Beliau mula menjadi guru agama sejak berumur 18 tahun dan mengajar di Parit Stongkat, Muar pada tahun 1938 dan turut mengajar di Pontian pada tahun 1941.

Selepas British mengambil alih semula Malaya daripada Jepun, Mat Indera telah menubuhkan Malay Nationalist Party (MNP) pada tahun 1947 di Muar dan turut menjadi setiausaha Muar Malay Harbour Board Labour Union. Memandangkan modus operandi PKM merekrut kader-kader baru komunis melalui kesatuan sekerja, Mat Indera turut dijadikan sasaran apabila beliau mula direkrut oleh G.H Jasman, wakil Seksyen Melayu PKM bermula pada bulan Januari 1948 yang sering melawatnya dan berusaha mendoktrin Mat Indera dengan ideologi perjuangan komunis sehingga mendapat simpati Mat Indera.

G.H Jasman turut memberikan beberapa buah buku berkenaan komunis kepada Mat Indera yang antaranya bertajuk What is MCP yang ditulis oleh Komrad Wright@Lai Tek sendiri. dan buku bertajuk Dialectic Materialism. Walaupun teori tentang komunis yang cuba diketengahkan oleh buku-buku tersebut jelas bertentangan dengan Islam, G.H Jasman akhirnya dapat mempengaruhi dan memujuk Mat Indera menerima perjuangan komunis dan menyertai PKM dengan alasan komunisme berbeza dengan agama dan Mat Indera turut dibenarkan mengamalkan Islam selagi tidak menjejaskan aktiviti komunis. Mat Indera akhirnya menyertai PKM pada 13 Julai 1948 dan dilantik sebagai Pegawai Am dalam Gerila Melayu Malaya, sayap Melayu PKM dan terus menjalankan aktiviti komunis dalam usaha meresapi dan menyusup dalam masyarakat orang Melayu di sekitar Muar dan Batu Pahat melalui surau dan masjid. Latar belakang sebagais eorang guru agama Mat Indera telah dieksploitasi komunis dalam usaha merekrut orang Melayu menyertai komunis dan memberi sokongan kepada perjuangan komunis yang telah banyak menzalimi orang Melayu terutama di era Bintang Tiga hingga mewujudkan kebangkitan orang Melayu melalui Perjuangan Pahlawan Parang Panjang. Akibat keganasan dan kezaliman komunis semasa Bintang Tiga terhadap orang-orang Melayu, PKM@Bintang Tiga telah dicop sebagai musuh utama orang Melayu pada waktu itu.

Mat Indera turut terlibat ketika serangan terhadap Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 dan menjadi watak utama menjadi orang tengah meminta polis menyerah diri kepada komunis. Pada 14 Oktober 1952 Mat Indera telah ditangkap oleh orang-orang kampung Parit Warijo, Sri Medan, Batu Pahat. Mat Indera telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 18 November 1952 kerana memiliki senjata api secara haram. Rayuan Mat Indera supaya hukumannya diringankan ditolak pada 2 Disember 1950 dan hukuman gantung terhadapnya telah dijalankan pada 30 Januari 1953 di Penjara Taiping. Jenazahnya telah dikebumikan di Kg. Jambu Air, Taiping. Untuk makluman juga, Mat Indera pernah dipenjarakan selama 2 bulan pada tahun 1946 kerana menjual beras secara haram.

Begitulah serba sedikit tentang perjalanan hidup Mat Indera yang menimbulkan konflik bagi mengiktiraf beliau sebagai pejuang kemerdekaan tetapi cara perjuangannya jelas menyalahi norma masyarakat pada waktu itu. Tukang Screw sedang cuba menghubungi adik Mat Indera iaitu Baharum Shah Indera yang juga merupakan seorang pesara tentera bagi mendapatkan beberapa butiran lanjut kenapa keluarga mereka berhijrah keluar dari Johor kerana dikatakan tidak mahu dicop sebagai agen komunis dan menyokong perjuangan Mat Indera.


Wallahualam. Al-Fatiha untuk Allahyarham Mat Indera sebagai saudara seIslam, moga rohnya diterima bersama orang-orang beriman.

Mat Sabu @ Mat Indera




Cuba kita nilai apa yang dimaksudkan Mohd Sabu dalam ceramahnya pada 21 Ogos 2011 di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Adakah terlalu hina mempertahankan tanah air daripada komunis walaupun berkhidmat dengan British? Kenapa Mat Indera tidak serang sahaja pegawai-pegawai berbangsa Inggeris? Rasanya elok juga Ketua Penerangan UMNO menyahut debat terbuka dengan PAS berhubung perkara ini. Tapi apa kene mengena isu ini dengan UMNO? UMNO mempertikaikan berdasarkan sejarah. Jadi Tukang Screw rasa eloklah pakar sejarah sendiri berdebat dengan PAS untuk membetulkan fakta sejarah sekiranya benar Mat Indera pejuang kemerdekaan.

Friday, September 2, 2011

PAS SOKONG KOMUNIS SERANG BALAI POLIS BUKIT KEPONG???

Tanpa cuba sembunyikan atau menyeleweng fakta, Tukang Screw cuba paparkan beberapa kenyataan pimpinan PAS yang BAKAL GANTI UMNO berhubung tindakan komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950 untuk kita nilaikan bersama:

Tuan Ibrahim Tuan Man

"Disebabkan pada zaman British menjajah negara kita, British telah memperalatkan beberapa tokoh Melayu untuk bersekongkol dengan mereka, namun tidak dinafikan ada yang bersekongkol untuk menghalau British dari dalam kerajaan. Kita harus faham kenapa berlakunya penentangan terhadap Inggeris oleh rakyat dari pelbagai bidang ada yang menyertai PKMM, PKM dan lain-lain semuanya bagi menentang penjajah British dan mereka yang bersekongkol dengan penjajah British."

Dr.Mujahid Yusof

"Isu Bukit Kepong tahun 1950 adalah serangan ke atas sasaran penjajah bukan kepada anak bangsa sendiri. Polis waktu itu adalah apparatus penjajah, penyerang pula adalah mereka yang menentang penjajah, apakah kerana ini mereka menjadi komunis."

Dr. Dzulkifly Ahmad

"Anggota polis Bukit Kepong terperangkap sebagai mangsa keadaan. Biarpun serangan itu adalah terhadap British, namun anggota polis tersebut menjadi mangsa kerana mereka pada waktu itu berkhidmat untuk british dan memerangi mereka yang menentang British."

Abu Bakar Chik

"Mat Indera mendakwa adalah seorang guru agama yang mendapat tauliah agama dari Kerajaan Negeri Johor pada masa itu. UMNO dan penjajah yang tuduh Mat Indera komunis."


Elok rasanya pimpinan PAS yang celik sejarah mengkaji sejarah perjuangan komunis pasca pendudukan Jepun di Tanah Melayu waktu itu sebelum menilai siapa tali barut atau barua British pada waktu tersebut. Sila baca buku bertajuk Sejarah Perjuangan Kita oleh Dr.Burhanuddin Al-Helmy pada tahun 1955;

"Dengan terkejutnya Jepun menyerah diri kepada pihak Berikat; maka di antara dua semangat yang bertentangan tadi mudah sahajalah menjadi subur dan bernyala, sementara di pihak orang Cina pula didorong oleh rasa hendak membalas dendam kepada orang-orang yang menjadi pegawai dan kakitangan Jepun yang telah melakukan kezalimannya di masa Jepun itu. Dan serentak dengan itu berdirilah kerajaan Bintang Tiga selama kira-kira tiga minggu."

Harus diingat bahawa perjuangan PKM bertitik tolak daripada pendudukan Jepun dengan penubuhan MPAJA pada 18 Disember 1941 bagi bersiap sedia menghadapi ancaman pendudukan Jepun di antara PKM dan British. Gerila PKM (MPAJA) ini dilatih di 101 Special Training School di Singapura yang dikendalikan sepenuhnya oleh British Special Operations Executive (SOE) yang akhirnya bersatu dengan Force 136. Selepas Jepun menyerah diri kepada Berikat, MPAJA yang juga digelar Bintang tiga telah mengambil alih beberapa kawasan di Semenanjung selama 3 minggu yang penuh dengan balas dendam dan cita-cita menjadikan Malaya sebagai sebuah republik atas arahan Lai Tek, setiausaha PKM pada masa itu. Sila baca laporan Lai Tek dalam Persidangan Ke-8 Jawatankuasa Pusat PKM di Singapura pada tahun 1946 yang berbunyi:-

"Today Malaya has become a British Colony again. The British have replaced the Japanese rulers of Malaya, so the target of the national liberation struggle in once again the British."

Kenapa PKM belot kepada British yang melatih mereka? Sila rujuk 8 manifesto PKM kepada British selepas Jepun menyerah kalah yang antaranya mahukan British mengiktiraf PKM sebagai parti yang halal dan menjadikan Malaya sebagai republik! PKM mengambil keputusan mengangkat senjata melawan British dan pihak-pihak yang menolak idea komunis termasuk orang Melayu yang enggan menyokong mereka kerana kekejaman PKM semasa pemerintahan Bintang Tiga.

Mungkin kita pernah mendengar legenda Kiai atau Panglima Salleh Parang Panjang yang berjuang menentang kekejaman komunis di sekitar Batu Pahat dahulu. Nescaya kalau Allahyarham masih hidup pasti akan DIPARANGNYA Mohd Sabu. Sekiranya Leftenan Adnan dan pahlawan Rejimen Askar Melayu yang terkorban mempertahankan Bukit Candu dari ditawan Jepun masih hidup lagi pastinya akan DIRODOK DENGAN BENET Mohd Sabu dan pemimpin PAS lain kerana mereka juga berkhidmat untuk British mempertahankan Malaya!

Fikir-fikirkan. Mungkin ada penyokong PAS atau PR yang tidak setuju dengan kenyataan Tukang Screw. Insya Allah, banyak lagi catatan sejarah akan Tukang Screw paparkan untuk membuktikan bahawa Mat Indera dan komunis bukan pejuang kemerdekaan!

ADA LAGI YANG NAK KENE SCREW!!!

Awal mula pertama mula Tukang Screw ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin serta Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-54. Harapan Tukang Screw agar sambutan Aidilfitri dan Kemerdekaan pada tahun ini bukan yang terakhir buat kita!

Sepanjang penghujung Ramadhan dan awal Syawal banyak isu yang timbul yang tidak dapat dikongsi bersama kerana kesibukan dan keghairahan kita menyambut Syawal termasuklah Tukang Screw. Almaklumlah, kena menghargai saat-saat sebegini sebelum ianya ditarik balik! Isu dakwaan Mohamad Sabu bahawa Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan sebenar amat menarik perhatian rakyat negara ini yang rata-ratanya bencikan komunis dan hanya segelintir menyanjung komunis (termasuk pemimpin PAS). Hanya berpunca daripada ceramah Mohd Sabu di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu. Ramai pemimpin PAS "yang terpaksa" mempertahankan kenyataan Mohd Sabu dengan cuba memberi analogi bahawa sesiapa sahaja yang bekerja dengan British pada waktu itu yang dianggap penjajah terutama polis dan tentera perlu diperangi bagi membebaskan tanah air ini. Mereka cuba meletakkan tokoh-tokoh pejuang tanah air seperti Tok Janggut, Abdul Rahman Limbung, Mat Kilau dan Dato Bahaman sebagai pejuang kemerdekaan yang satu Malaya telah mengenali sejarah perjuangan mereka. Tukang Screw sendiri belajar tentang perjuangan mereka semasa sekolah rendah lagi. Rasanya tidak perlu diperdebatkan lagi peranan tokoh-tokoh pejuang ini. Apa yang Tukang Screw ingin timbulkan di sini ialah ADAKAH PEMIMPIN PAS MENGANGGAP KOMUNIS YANG MENYERANG BALAI POLIS BUKIT KEPONG SEBAGAI PEJUANG KEMERDEKAAN DAN MENYAMAKAN KOMUNIS-KOMUNIS TERSEBUT DENGAN TOK JANGGUT DAN YANG LAIN-LAINNYA? Bukan kecil anak pemimpin PAS yang berhujah menyokong serangan komunis terhadap balai tersebut seperti Dr. Mujahid Yusof (perlu ambil pengkhususan sejarah selepas ini), Dr. Dzulkifly Ahmad dan Tuan Ibrahim Tuan Man. Tukang Screw yakin sekiranya komunis berjaya menghalau British pada waktu itu nescaya PAS tidak akan wujud di muka bumi ini!!!

Jangan kerana hendak mempertahankan kenyataan pemimpin, PAS sanggup mengalih isu dan mengiktiraf komunis sebagai pejuang. Lupakah pemimpin PAS bahawa komunis menolak kewujudan tuhan dan agama? Cuba lihat dan renung kembali Perlembagaan PAS (tak guna jadi pemimpin PAS kalau perlembagaan parti sendiri pun tak tahu. FASAL 5. TUJUAN PAS IALAH: (1) MEMPERJUANGKAN WUJUDNYA DI DALAM NEGARA INI SEBUAH MASYARAKAT DAN PEMERINTAHAN YANG TERLAKSANA DI DALAMNYA NILAI-NILAI HIDUP ISLAM DAN HUKUM-HUKUMNYA MENUJU KEREDHAAN ALLAH. Persoalannya, adakah fahaman komunis itu menuju keredhaan Allah? Lupakanlah atau mansuhkan sahaja Perlembagaan PAS kalau pemimpin PAS gagal menghayati dan melaksanakannya. Sehingga kini pun PAS masih gagal menghayati dan melaksanakan Fasal 5. (2) Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara!!!!! Apa jadi pada isu JAIS-GMDU? Di mana PAS?

Sebenarnya ceramah Mohd Sabu di Tasek Gelugor tempoh hari bukan hanya mendewakan komunis sebagai pejuang kemerdekaan tetapi turut mempertikaikan beberapa perkara yang Tukang Screw akan dedahkan tidak lama lagi. Selain Mohd Sabu, Tukang Screw akan paparkan juga perkembangan terkini isu JAIS-GMDU dan perancangan pemimpin DAP (Teresa Kok) yang menjadi perancang utama di sebalik isu ini bagi menutup gerakan memurtadkan umat Islam terutamanya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap JAIS!!! Alhamdulillah, sepanjang beraya di Utara banyak input dan VCD yang Tukang Screw terima dari rakan-rakan yang mahu beberapa isu dipaparkan untuk tindakan kita bersama.



PSSSSTTTT: VCD Din Puduraya dan JAIS-GMDU dah disebarkan di kampung-kampung di utara dan ramai pakcik makcik yang mengucap dan beristighfar panjang setelah menontonnya. Terima kasih kepada insan yang sudi mengeluarkan belanja mengedarkannya untuk renungan bersama. Dengar khabar rakan-rakan dari selatan juga telah menontonnya selain menonton filem-filem basi di TV!

Monday, August 22, 2011

BINGKISAN AIDILFITRI: PEMERIKSAAN JAIS BHG III



Bahagian III dan terakhir pemeriksaan JAIS terhadap GMDU pada 3 Ogos 2011 yang dipertikaikan banyak pihak. Apapun kita jangan lari dari isu pokok iaitu gerakan kristianisasi terancang oleh pihak yang tidak menghormati kesucian Islam dan Perlembagaan Malaysia. Isu ini menuntut kerjasama semua pihak yang mengaku mempertahankan kesucian Islam di Malaysia, lebih-lebih lagi mereka yang melihat isu ini dari perspektif meneruskan kelansungan politik di Malaysia dalam cubaan "menuju ke Putrajaya".


Insya Allah, Tukang Screw akan dedahkan konspirasi terancang pihak-pihak yang tidak mahu melihat Islam terus subur di bumi bertuah ini pada masa-masa akan datang. Apapun isu ini mendedahkan kelemahan umat Islam dan pihak yang dipertanggungjawabkan menjaga dan mempertahankan Islam. Diharap ianya dapat menjadi iktibar bersama supaya masing-masing dapat menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan manakala di satu pihak lain perlu menyedari bahawa status Islam sebagai agama rasmi negara ini jelas termaktub dalam perlembagaan dan wajib dihormati jika mahu anutan dan pegangan anda dihormati oleh umat Islam di negara ini. Wallahualam.