Monday, November 9, 2009

APA DAH JADI DENGAN SEMINAR MEMPERKASA PAS?


Kecewa, kecewa, kecewa. Itulah luahan rasa sebilangan besar perwakilan PAS seluruh negara yang hadir Seminar Memperkasakan Parti di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar pada 7 November lepas. Tukang Screw agak terkejut dengan reaksi spontan perwakilan dari Kelantan yang ditemui, walaupun niat asalnya memanglah untuk menghadiri seminar tersebut tetapi terpaksa diubah untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia kerana hilangnya 'ummmph' seminar tersebut.


"Sabarlah Abe, nak buat lagu mane lagi" pujuk Tukang Screw. Setelah pekena teh tarik dengan pisang goreng panas di Greenwood (hujan renyai-renyai), Abe pun bercerita dengan Tukang Screw perihal kejadian sepanjang seminar. Ramai memanglah ramai yang hadir, adalah hampir 1,500 orang juga pasal nak dengar cara mana Presiden nak selesaikan masalah dalaman PAS. Abe dengan penuh khusyuk mendengar ucap tama presiden sambil melihat-lihat salinan ucapan tersebut. Mukadimah memanglah hebat, tapi bila masuk isi, hampeh! Abe rasa macam dengar ucapan semasa muktamar agung pulak. "Daripada isi ucapan tu menampakkan yang Presiden memang mahukan kerjasama dengan UMNO" kata Abe. "Mu tak caye mu tengok teks ucape ni, itupun kalau mu panda bace jawi, hehehehehe".


Petikan ucapan tersebut:

"...tanpa menafikan bahawa semua kumpulan Islam dan pendukungnya, di mana sahaja mereka berada, adalah sahabat perjuangan."


"Hah, mu nampok tu! Itu bunyinye meme nak kerjesame denge UMNO, sebab UMNO pun Isle". kata Abe lagi. Dalam hati Tukang Screw tergelak, "Ngaku jugak puak-puak PAS Kelantan ni yang UMNO ni Islam".


"Yang ni lagi sedap, mu baca Abe nak denga!"


"Kita akan memainkan peranan lebih aktif, sebagaimana yang telah sama-sama kita bahaskan dua muktamar PAS yang lalu."


"Yang ini Abe setuju sangak. Sebab selama dalam Pakatan Rakyat, PAS ni serupa ke lembu yang dicucuk hidung, ke depan ditarik ke depanlah dia, ke lubok ditarik keluboklah kita. Yang itu Abe taknak ikut".


"Cuba kita sama-sama muhasabah PAS ni, umurnya muda sikit ke UMNO tu banding DAP dengan PKR. Tapi kenapa kita kena ikut Yakjud Makjud tu? PAS ni dah lame, dah meme ade kekuate tersendiri, tak perlu ngikut sangat lenggok DAP/PKR sebab kita ni abe had yang besar sekali!"


Tukang Screw amat bersetuju kenyataan Abe tu. Yelah, PAS sebagai sebuah parti yang sudah berusia lebih kurang 57 tahun, yang dah puas bergelumang dengan sepak terajang politik terpaksa ikut rentak permainan DAP/PKR dan media. Sepatutnya PAS kena ego dan style tersendiri sebagai 'big brother'.


Sesi yang paling ditunggu-tunggu dalam seminar tersebut ialah Percambahan Minda yang melibatkan Prof.Dr. Abdul Aziz Bari, Prof.Dr. Abu Hassan Hasbullah dan Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man. Kalau dengar tajuk percambahan minda tu memanglah gempak "Ulasan dan Unjuran Masa Depan PAS Dalam Konteks Politik Malaysia". Perwakilan amat teruja hendak mendengar dari mulut Aziz Bari sendiri tentang kebobrokan PAS. Nampaknya Aziz Bari cuba berselindung atau mengelak daripada mengulas artikel "Pengajaran Dari Bagan Pinang" yang menjadi punca sebenar seminar ini diadakan. Beliau hanya lebih mengulas bagaimana PAS perlu menghadapi PRU Ke-13 dengan melakukan anjakan paradigma.


Abu Hassan Hasbullah pula dalam komen pedasnya menyatakan bahawa hasil kaji selidik beliau terhadap 2,000 orang responden berumur di antara 21-30, 30-40 dan 40-50 mendapati bahawa persepsi terhadap imej PAS makin merudum berbanding sebelum PRU 2008. Untuk itu PAS perlu berubah dalam semua aspek yang dijadikan kajian iaitu kewibawaan pemimpin PAS, sistem pentadbiran PAS, kepimpinan pemuda PAS,kepimpinan Muslimat PAS, persepsi kepimpinan PAS, persepsi pengaruh PAS dalam PR dan persepsi media terhadap PAS.


Tuan Ibrahim Tuan Man patut dipuji dalam komen beliau yang melihat penceramah-penceramah PAS terlalu 'syok sendiri' bila berceramah hingga menjauhkan diri golongan muda dari parti tersebut. Pendapat yang berbeza perlu diuruskan dengan baik bukan melebarkan perbezaan pendapat. Kalau ada isu dalam parti janganlah disebarkan ke luar dan pemimpin serta ahli PAS perlu dukung keputusan parti bukan keputusan peribadi .(Ni memang saje nak kutuk Nik Aziz)


Selepas itu majlis membuka soalan kepada perwakilan untuk diajukan kepada 3 ahli panel tadi. Tukang Screw yakin, inilah peluang yang baik untuk 'belasah' Aziz Bari. Nampak gaya begitulah, Aziz Bari ditembak bertalu-talu oleh perwakilan yang mahukan beliau mengemukakan bukti wujudnya pemimpin PAS yang bermasalah dan sekiranya tiada bukti Aziz Bari perlu tarik balik artikel tersebut dan minta maaf kepada PAS. Terkebil-kebil Aziz Bari nak menjawab, tak tahu nak guna perkataan dan ayat yang sesuai. Tapi dengan sombongnya dia mempertahankan kenyataannya dan menyatakan bahawa beliau hanya ahli akademik dan bukan Tok Bomoh! Yang menarik, pendekar tua PAS, Abu Bakar Chik tiba-tiba mengamuk dengan mengecam secara sinis Aziz Bari. "Kalau saya tahu Aziz Bari akan hadir seminar ini, tak ingin saya nak datang!" Begitu meluatnya orang tua tu kat Aziz Bari. Kamarulzaman Mohamad pula mencabar Aziz Bari menyertai politik untuk memberi komen terhadap PAS. Nah ambik kau!


Sesi perbahasan petang itu yang sepatutnya panas hanya suam-suam kuku. Perwakilan lebih banyak membahas isu memantapkan parti daripada menyelesaikan masalah dalaman PAS. Tapi Tukang Screw agak tertarik dengan Solehin Mukhyi yang mewakili PAS Selangor. Beliau mahukan PAS mengurus kelemahan pemimpin sendiri dan jangan terpengaruh dengan blog. Yang sedapnya, beliau juga minta Hassan Ali jelaskan kenapa kerap tidak hadir mesyuarat Exco Selangor dan apakah perancangan Hassan Ali untuk memperkasakan PAS Selangor. Tukang Screw bertanya kat Abe mana pergi Hassan Ali waktu itu. Abe sambil menghembus asap rokok kreteknya menjawab "Entoh, Abe pun tak nampok dia. Tadi pagi dia mari, tengahari ghaib ntah kemana. Hase ni meme ahli silap mata".


"Mu nak tau Tuke Screw, Nik Ajis tak jadi nak tutup seminar sebab tak berape nak sihat. Tapi Abe tau kenapa dia balik awal". Ha, kenapa dia balik awal? "Sebab nak tengok bola! Ha, ha, ha" gelak Abe. Hmmm, orang kuat Tok Guru Nik Ajis pun dah mula nak ngutuk dia. Inikan pulak orang lain.


Jadi terpaksalah Presiden tutup seminar yang gagal mecapai matlamatnya itu. Tukang Screw nampak seminar ini hanya untuk meredakan keadaan tapi gagal melakukan 'pembedahan' untuk mengubat kanser yang sedang bersarang dalam PAS. Hanya sekadar membalut yang luka tapi tak menyembuhkannya. Apa yang menarik presiden semasa ucapan penutupnya ada menyentuh isu baiah dalam PAS. Katanya calon-calon PAS berbaiah dengan dosa dan pahala bukan dengan menceraikan isteri sebab perkara ini tidak diputuskan Dewan Ulama PAS!!!!!! Apa nak jadi dengan PAS sebenarnya? Cuba renung-renungkan kenyataan Tukang Screw ini; PAS patut keluar dari Pakatan Rakyat yang selama ini menjadikan PAS serba salah untuk menghentam UMNO kerana DAP/PKR lebih teruk dari UMNO hingga menyebabkan persepsi terhadap PAS jatuh merudum. Eloklah PAS 'single' kembali sebab parti ini dah memang kuat dan tak perlu harap kerjasama dengan Yakjud dan Makjud!

No comments: